APRIL 2025

Pelabuhan Laut Dalam Pacu Miri Sebagai Hab Import, Eksport


MIRI: Bandaraya Miri bakal menjadi hab import dan eksport utama di utara Sarawak dengan siapnya projek pembesaran Pelabuhan Miri nanti.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelabuhan laut dalam itu yang akan siap dalam tempoh dua tahun membolehkan produk-produk dikeluarkan di utara Sarawak dipasarkan. 

“Ini bermakna perniagaan import dan eksport daripada bahan-bahan dari utara Sarawak dapat dikeluarkan melalui pelabuhan tersebut.

“Ia juga menarik kapal-kapal persiaran untuk membawa pelancong ke utara Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Melayu Miri di Stadium Tertutup, di sini, hari ini. 

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi. 

Dalam usaha memacu sektor pelancongan di Miri, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan membangunkan Jalan Marudi ke Mulu yang akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. 

Katanya, pembinaan jaringan perhubungan ini akan merancakkan industri pelancongan di Miri yang akan meningkatkan pembangunan ekonomi penduduk. 

Antara kenamaan lain turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.